Alkisah @ kemaman.net

APA-APA AJE YANG BERKAITAN DENGAN KEMAMAN @ ORANG KEMAMAN (?)

D E M I   M A S A
SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU DALAM KERUGIAN, KECUALI
ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGERJA AMALAN BAIK
DAN BERPESAN-PESAN PADA MENJALANKAN KEBENARAN
DAN BERPESAN-PESANAN PADA MENJALANKAN KESABARAN.

LTSM Hub Penerbangan Haji Pantai Timur

08 Januari, 2009 19:31 PM  

KUALA TERENGGANU, 8 Jan (Bernama) — Amran Rashid sekeluarga lega kerana tidak lagi perlu berbelanja besar untuk perjalanan ke ibu negara bagi menghantar dan menunggu kepulangan anggota keluarga yang menunaikan haji tahun ini.

Sebelum ini, beliau yang tinggal di Seberang Takir dekat sini, terpaksa berbelanja antara RM1,000 dan RM2,000 untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), namun mulai musim haji lepas, beliau tidak perlu berbuat demikian.

Ini kerana, Malaysia Airlines (MAS) telah mengadakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ke Jeddah, dan ia bukan sahaja melegakan rakyat Terengganu malah penduduk Pantai Timur.

“Kemudahan yang disediakan kerajaan ini, memang melegakan. Ia bukan sahaja menjimatkan wang tetapi tenaga kami yang terpaksa berulang-alik ke KLIA,” kata Amran, 43, yang berniaga ikan di Pulau Kambing di sini.

Pada musim haji lepas, sebanyak 18 penerbangan terus pergi dan balik dari LTSM ke Jeddah untuk membawa lebih 5,000 jemaah haji dari Pantai Timur.

Penolong Pengurus Besar (Haji dan Penempahan) MAS, Kapten Nik Huzlan Nik Hussin berkata dengan adanya penerbangan terus Kuala Terengganu-Jeddah, ia membuktikan keprihatinan MAS kerana ia mampu menjimatkan perbelanjaan jemaah haji dari Terengganu.

“Apabila kita mengadakan penerbangan terus ke Jeddah, keluarga jemaah boleh jimat wang kerana untuk ke ibu negara mereka pastinya terpaksa menghabiskan wang,” kata beliau.

Penerbangan sulung jemaah haji itu dari LTSM ialah pada 13 Nov lepas dan esok adalah penerbangan pulang terakhir dari Jeddah ke lapangan tersebut.

“Buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini, para jemaah haji dibawa terus dari Kuala Terengganu ke Jeddah.

“Pada musim haji tahun ini, bilangan penerbangan itu akan ditingkatkan kepada 20 penerbangan,” kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Penerbangan terus ke tanah suci bermula tahun lepas, setelah kerajaan Terengganu menaiktaraf LTSM itu membabitkan kos RM400 juta, bagi membolehkan pesawat Boeing 747 mendarat di situ sejak September lepas.

Projek pembinaan LTSM itu, telah dimulakan sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PAS pada 2004.

Bagi memastikan keselesaan jemaah haji, kerajaan juga bercadang membina Kompleks Tabung Haji di Gong Badak di sini bagi kemudahan jemaah haji di Pantai Timur sebelum berlepas ke Jeddah.

Kompleks itu akan dibina tahun ini, di kawasan seluas kira-kira 2.8 hektar berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak.

Premis itu akan menyediakan 120 bilik dan akan dijadikan hotel penginapan pelancong di luar musim haji.

Dengan kemudahan tersebut, LTSM telah bersedia sepenuhnya untuk menjadi hub penerbangan jemaah haji dari Pantai Timur ke Jeddah pada masa akan datang.

– BERNAMA

RSS 2.0 | Susurbalik | Komen

Sila komen di sini:

Anda perlu log masuk untuk membuat sebarang komen.