Sokong BN Hadapi Krisis Ekonomi, Kata Ahmad Shabery
| 08 Januari, 2009 15:37 PM |
KUALA TERENGGANU, 8 Jan (Bernama) — Rakyat perlu berdiri kukuh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi krisis ekonomi dunia pada masa ini, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Katanya rakyat seharusnya tidak terlalu ghairah berpolitik sehingga boleh merencatkan usaha kerajaan memperbaiki keadaan ekonomi negara.
“Langkah kerajaan untuk memperbaiki keadaan, mengatasi pengangguran, memberi tumpuan kepada kebajikan dan sebagainya akan terencat sekiranya masyarakat kita terlalu tinggi berpolitik,” katanya kepada Bernama di sini.
Dengan menjadikan Singapura sebagai contoh, Ahmad Shabery berkata rakyat republik itu bersatu dengan kerajaan kerana menganggap mereka seperti berada dalam peperangan ketika dilanda kemelesetan ekonomi.
“Rakyat perlu faham masalah ekonomi ini bukan disebabkan oleh kita tetapi disebabkan masalah di luar negara,” katanya.
– BERNAMA