URUSAN HAJI MALAYSIA
Setiap warga negara Malaysia muslim yang mahu mengerjakan fardhu haji ke tanah suci diwajibkan mendaftarkan diri dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) terlebih dahulu. Semasa membuat pendaftaran, baki simpanan dalam akaun Tabung Haji mestilah tidak kurang daripada RM1,300.00, dan perlu dikekalkan had baki minima ini sepanjang tempoh pendaftaran. Pada setiap musim haji, hanya jemaah berdaftar yang layak dan diluluskan oleh LTH boleh mengerjakan ibadat haji pada musim berkenaan.
Berbeza dengan umrah, jemaah haji Malaysia tidak dibenarkan ke tanah suci untuk mengerjakan ibadat haji dengan pasport antara bangsa (pasport merah). Hanya pasport haji yang mendapat visa haji dari Kedutaan Arab Saudi bagi musim haji yang berkenaan boleh digunakan. Pasport haji ini yang berwarna hijau, akan disediakan oleh LTH untuk jemaah haji yang layak.
Jumlah jemaah haji yang dibenarkan mengerjakan haji setiap musim haji adalah dikawal oleh Kerajaan Arab Saudi mengikut kuota-kuota tertentu yang dipersetujui oleh OIC. Buat masa ini kuota jemaah haji ditetapkan satu peratus (1%) daripada jumlah penduduk/rakyat negara Islam berkenaan. Beberapa musim yang lepas jumlah 26,000 adalah kuota yang diberikan kepada Malaysia berdasarkan kepada 26 juta orang penduduk. Kadangkala kuota-kuota tambahan pernah diberi atas ehsan pihak Kerajaan Arab Saudi, tetapi secara tidak rasmi, iaitu sebanyak 50% hingga 100%.
Dengan sebab adanya had kuota tersebut ramai bakal-bakal haji yang mendaftar di LTH tidak dapat pergi pada tahun-tahun yang dirancang untuk pergi. Sebaliknya mereka kena tunggu giliran yang biasanya ditetapkan pada asasnya selama 10 tahun ke hadapan. Untuk pergi lebih awal dari tempoh asas 10 tahun itu bakal jemaah kenalah membuat rayuan bertulis kepada LTH dengan memberikan sebab-sebab yang munasabah dan yang boleh diterima oleh pihak LTH. Biasanya pertimbangan yang wajar akan diberikan kepada rayuan-rayuan tersebut berpandukan kepada krateria tertentu seperti faktor belum pernah menunaikan fardhu haji sebelumnya, umur yang sudah lanjut tetapi kesihatan masih mengizinkan, mengiringi mahram atau waris terdekat yang sudah mendapat kelulusan (terpilih atau menunggu), haji nazar dan sebagainya. Semasa membuat rayuan, baki wang simpanan dalam akaun Tabung Haji hendaklah mencukupi (buat masa ini RM9,445).