Zaman Sheikh Haji
Latar Belakang
Pada zaman dahulu seseorang muslim yang baru hendak mengerjakan ibadat haji akan dibimbing oleh jurupandu upahan yang digelar Mutawif (untuk tawaf dan saei di Makkah) dan Muzawir (untuk menziarah makam nabi di Madinah). Juru-juru pandu ini, sejak dulu hingga kini, boleh didapati pada bila-bila masa sahaja disekitar tempat ibadat di Masjidil Haram (Mutawif) dan di Masjid Nabawi (Muzawir) dengan diberi upah setelah selesai tugas dilakukan.
Bakal-bakal haji dari luar daripada negara Arab Saudi biasanya akan pergi ke tanah suci melalui ejen-ejen yang digelar Sheikh Haji yang menjalankan perniagaan memberi perkhidmatan pengendalian jemaah haji dari tanah air mereka hinnggalah ke tanah suci, pergi balik dengan menguruskan tempat dalam kapal-kapal pengangkutan; serta menyediakan kenderaan, rumah penginapan, makan minum dan jurupandu di tanah suci dengan dikenakan bayaran tertentu. Institusi sheikh haji ini dijalankan sebagai perniagaan keluarga oleh orang-orang keturunan Arab.
Menurut sejarah, ahli-ahli perniagaan Arab yang digelar Sheikh Haji ini datang sendiri bermastautin di negeri ini, dan biasanya berkahwin dengan wanita tempatan sehingga mempunyai anak-anak yang akan menyambung perniagaannya pada masa akan datang.
Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan sheikh haji mempunyai rumah sendiri (atau disewa) di sekitar Pelabuhan Kelang, di Jeddah, di Makkah dan juga di Madinah. Perjalanan bakal haji zaman dahulu bermula dari rumah, dihantar dengan bas ke rumah Sheikh di Pelabuhan Kelang, di mana mereka tinggal beberapa hari menunggu tarikh untuk menaiki kapal, iaitu kapal api (bukan lagi kapal layar).
Perjalanan dengan kapal api (steam ship) dari Pelabuhan Kelang (atau Pulau Pinang atau Singapura) ke Pelabuhan Jeddah memakan masa lebihkuang setengah bulan. Pada zaman kapal layar, pelayaran dari tanah air ke Jeddah mengambil masa hampir tiga bulan. Semasa dalam kapal ada yang jatuh sakit dan meninggal dunia (jenazahnya di humban ke laut); dan ada jemaah yang bertemu jodoh dan terus berkahwin. Makan minum dimasak sendiri oleh jemaah di atas kapal.
Setibanya di Laut Ya Lamlam, jemaah mengenakan pakaian ihram dan memasang niat ihram untuk umrah tamattu’ atau untuk haji ifrad. Jeddah, jemaah mungkin terpaksa bermalam lagi di rumah Sheikh; atau mungkin menaiki kenderaan bas ke Makkah. Pada zaman kapal layar dahulu, mungkin untalah jenis pengangkutan dari Jeddah ke Makkah.