Alkisah @ kemaman.net

APA-APA AJE YANG BERKAITAN DENGAN KEMAMAN @ ORANG KEMAMAN (?)

D E M I   M A S A
SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU DALAM KERUGIAN, KECUALI
ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGERJA AMALAN BAIK
DAN BERPESAN-PESAN PADA MENJALANKAN KEBENARAN
DAN BERPESAN-PESANAN PADA MENJALANKAN KESABARAN.

Perjalanan Jemaah Haji Malaysia

Pendaftaran Haji

1)  Semua warganegara Islam Malaysia yang ingin mengerjakan ibadah haji mesti terlebih dahulu mendaftarkan diri dengan Lembaga Tabung Haji.  Syarat pendaftaran ialah baki simpanan hendaklah dikekalkan pada tahap minima RM1,300.00 bagi setiap kali pendaftaran. Pendaftaran hanya sah untuk sekali pergi sahaja.  Jika ingin pergi lagi, kenalah daftar semula.  Demikianlah seterusnya.  Menjadi penyimpan di Tabung Haji belumlah lagi dikira sebagai telah berdaftar untuk menunaikan fardhu haji.

2)   Dua jenis surat tawaran akan dikeluarkan kepada bakal haji setiap musim haji.  Surat tawaran status TERPILIH bagi mereka yang termasuk dalam kuota rasmi (kini 26,000 orang) dan status MENUNGGU (STANDBY) akan diberikan kepada jumlah tertentu jemaah yang akan hanya disahkan dapat pergi kemudian (terpilih) tertakluk kepada kelulusan kuota-kuota tambahan yang diberi kepada Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi.  Bagi setiap jenis tawaran, bakal jemaah perlu memberi jawapan (kembalikan borang tertentu) samada menerima atau menolak tawaran tersebut.

3)   Urusan membuat pasport dan pemeriksaan perubatan akan dikeluarkan kepada yang bersetuju menerima tawaran (tidak kira berstatus TERPILIH mahupun MENUNGGU), seawal bulan Rabi’ulAwal lagi.  Walaupun sudah mempunyai pasport dan lulus pemeriksaan kesihatan, seseorang jemaah berstatus MENUNGGU belum dijamin akan dapat pergi sehinggalah pada sa’at akhir dalam bulan Zulkaedah.

Penerbangan Carter Haji

1)   Semua jemaah haji akan pergi dengan kapalterbang Carter Haji yang bermula pada 1 Zulkaedah dan berakhir pada 30 Zulkaedah setiap musim.  Biasa LTH akan menyewa secara carter pesawat-pesawat dari dua buah syarikat penerbangan; iaitu syarikat penerbangan Saudia dan MAS. Pesawat-pesawat dari syarikat penerbangan Air Asia dan Transmil juga pernah disewa untuk penerbangan jemaah haji ke tanah suci.  Trip-trip penerbangan akan dinamakan dengan nombor KT (Kapal Terbang) yang disusun sendiri oleh LTH, iaitu dari KT01, KT02, KT03 dan seterusnya hingga mencukupi jumlah jemaah yang dibawa setiap musim.  Muatan setiap KT adalah bergantung kepada jenis kapalterbang yang digunakan.  Pada musim lalu pesawat Saudia mempunyai muatan 444 orang manakala pesawat MAS pula 378 dan 200 orang.

2)   Bagi penerbangan-penerbangan dari 1 Zulkaedah hingga 22 Zulkaedah, semua penerbangan SAUDIA akan terus ke Madinah, manakala penerbangan MAS akan hanya ke Jeddah, walaupun ada juga yang dibenarkan terus ke Madinah.  Tetapi semua penerbangan selepas 22 Zulkaedah akan terus ke Jeddah oleh sebab semua jemaah penerbangan akhir akan terus ke Makkah.  Maknanya jemaah haji yang pergi dengan penerbangan-penerbangan dari 1 – 22 Zulkaedah akan menziarahi Madinah dulu (8 atau 9 hari) sebelum ke Makkah dan akan pulang ke tanah air melalui lapangan terbang Jeddah; manakala jemaah-jemaah yang berlepas dari tanah air selepas 22 Zulkaedah akan masuk ke Makkah dahulu dan akan menziarahi Madinah pada 8 atau 9 hari terakhir sebelum pulang ke tanah air.

3)  Tempoh berada di tanah suci telah ditetapkan mengikut setiap KT.  Biasanya antara 35 hingga 46 hari, dan kebanyakannya 44 hari.