Cerita Saudara Angkatnya
DARI BERNAMA ONLINE
10 Julai, 2009 21:13 PM
Natrah Sentiasa Rindu Keluarga Angkat Di Malaysia
KEMAMAN, 10 Julai (Bernama) — Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya, sentiasa merindui keluarga angkatnya di Malaysia ketika beliau sakit teruk akibat leukemia sebelum meninggal dunia dua hari lepas.
Saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd Dahan, 63, berkata Natrah sering meluahkan perasaannya itu sama ada melalui telefon atau emel kepada adiknya di sini, dan anaknya yang tinggal di Kuantan.
Malah, beliau yang merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed, berkata Natrah juga mempelawa mereka menjenguknya di Belanda di saat beliau sakit teruk akibat penyakit berkenaan.
Rokayah berkata beliau menerima berita kematian Natrah menerusi telefon pada pukul 8 malam semalam daripada anaknya, Mohd Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.
“Selepas menerima berita tersebut, saya terkejut dan sangat sedih kerana banyak kenangan bersama Natrah semasa dia berada di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini Jumaat.
Beliau berkata antara kenangan yang tidak dapat lupakan ialah Natrah masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun telah 46 tahun meninggalkan Malaysia.
“Pada 1997, Allahyarhamah balik ke Kemaman bersama suaminya warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda. Ketika itu Natrah tinggal di Kemaman tiga malam dan tidur di rumah saya satu malam.
“Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya dan beliau juga masih gemar makan ketupat palas,” katanya.
Rokayah berkata selepas Natrah meninggalkan Malaysia dan pulang ke Belanda, dia berkahwin dengan lelaki Belanda dan mempunyai 10 anak.
“Beberapa tahun selepas itu, Natrah berkahwin pula dengan rakyat Indonesia dan pernah pulang ke Kemaman pada 1997,” katanya.
Natrah meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun di kediamannya di Huijbergen, Belanda, dua hari lepas.
Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.
Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam serta bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.
Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin dan dia diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.
– BERNAMA
=============================================================================
DARI UTUSAN MALAYSIA ONLINE
Rindu keluarga angkat

Natrah (kiri) bersama Rokayah ketika melawat keluarga angkatnya pada tahun 1997 di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman, Terengganu.
——————————————————————————–
KEMAMAN 10 Julai – Bertha Hertogh atau nama Islamnya, Natrah sentiasa merindui keluarga angkatnya di sini malah meminta mereka menziarahinya di Belanda ketika dia sakit teruk akibat leukemia sehingga membawa kepada kematian.
Menurut saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd. Dahan, 63, Natrah sering meluahkan perasaannya itu menerusi e-mel atau telefon semasa berhubung dengan adiknya di Kemaman dan juga anaknya yang tinggal di Kuantan.
“Saya mendapat berita kematiannya menerusi telefon pukul 8 malam tadi daripada anak saya, Mohd. Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.
“Ketika itu saya terkejut dan sangat sedih kerana dia pergi jua menghadap Tuhan, memang banyak kenangan saya dengan dia semasa di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini hari ini.
Rokayah merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed.
Menurutnya, kenangan yang dia tidak lupa apabila Allahyarham masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun sesudah 46 tahun meninggalkan Malaysia.
Malah jelasnya, Natrah amat gemarkan makanan tradisional Melayu iaitu ketupat palas.
“Pada tahun 1997, dia balik ke Kemaman bersama suami warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda.
“Ketika itu Natrah tinggal di Kemaman tiga malam, satu malam tidur di rumah saya. Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya,” ujarnya.
Natrah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda kelmarin pada usia 72 tahun akibat leukemia.
Beliau menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asalnya dari Belanda.