23 Belia Amerika Mengajar Di Terengganu
| 06 Januari, 2009 21:52 PM |
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Sebuah negeri Islam konservatif, musim tengkujuh dan pulau-pulau indah.
Begitulah gambaran awal yang ada dalam pemikiran sekumpulan belia Amerika Syarikat yang akan mengikuti program sebagai pembantu pengajar bahasa Inggeris (ETA) selama 10 bulan di Terengganu.
Meskipun mereka mungkin mengalami kejutan budaya berikutan latar belakang kehidupan yang berbeza, sekumpulan 23 peserta berusia antara 22 dan 33 tahun amat teruja dan bersedia menimba pengalaman baru budaya dan tarikan Terengganu.
Mereka akan ke Terengganu pada Jumaat dan ditempatkan di 23 sekolah kerajaan di negeri itu.
Seorang peserta, Khadijeh Zarafshar, 22, seorang penuntut jurusan bahasa Inggeris dari Georgetown University, Washington D.C. berkata tugasannya itu akan memberi beliau peluang untuk meneroka dan mempelajari lebih banyak tentang pelbagai budaya Malaysia daripada rakyat tempatan.
Beliau memilih Malaysia kerana “ia sebuah negara yang pelbagai budaya dan mahu mengalami sendiri bagaimana orang Islam hidup bersama dengan mereka yang berlainan agama.”
“Saya dengar negara ini cantik dan saya terpesona dengan budaya Malaysia. Walaupun ia sebuah negara Islam, budayanya pelbagai berbanding dengan negara-negara Islam lain di Timur Tengah,” katanya.
Elizabeth Bowen, 22, berkata program itu pastinya akan memberikan pengalaman baru kerana beliau akan mempelajari budaya baru dan berkongsi pengalamannya dengan para pelajar.
Ditanya mengapa beliau memilih Malaysia, Bowen berkata beberapa rakannya pernah melawat negara ini dan amat menghargai cara kehidupan di Malaysia.
“Berdasarkan kepada penyelidikan yang saya lakukan sebelum datang ke Malaysia, saya dapati Terengganu adalah sebuah negeri konservatif, maka saya akan memakai baju kurung semasa ke kelas sebagai tanda hormat saya kepada budaya tempatan,” kata penuntut University of Pittsburgh itu.
Seorang lagi peserta, Matt Skarzymski daripada University of Santiago, beliau tidak sabar untuk menikmati keseronokan dan alam semula jadi tempatan.
“Saya amat teruja mengenai pengalaman baru yang akan saya alami dan berasa tidak sabar untu memulakan pengembaraan saya di negara ini,” katanya bersemangat.
Skarzymski berkata beliau memohon untuk ke Malaysia selepas jatuh cinta dengan rantau ini semasa mengikuti program pertukaran pelajar di Thailand pada 2006.
Program ETA yang bermula pada 2006 dengan hanya 10 peserta merupakan inisiatif yang dibiayai oleh Kerajaan Terengganu dan Jabatan Negara Amerika.
“Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar tempatan dan menjalin hubungan erat serta pemahaman budaya antara rakyat Malaysia dan Amerika,” kata Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Malaysia-Amerika bagi Pertukaran Pendidikan (MACEE) dan Koordinator program, Dr James Coffman pada sidang akhbar.
“Berdasarkan pengalaman kami, program ini berjaya kerana pelajar tempatan dapat meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka,” katanya.
– BERNAMA